Written by 4:06 pm Turning Vision Into Reality

12 perkataan untuk jadi pemimpin yang hebat

Sebenarnya kita tak perlu fikir pelik-pelik macam mana nak jadi pemimpin hebat.

Suatu ketika dahulu masa Ibu baru keluar dari dunia Petronas, Ibu bagaikan hilang arah, setiap nadi dan saluran darah ibu dah terbiasa dengan cara koporat. Ibu dilatih sehinggakan ia menjadi budaya ibu. Dalam kebingungan untuk menyesuaikan diri dengan dunia usahawan, dunia baru buat Ibu. Ibu jadi buntu, kenapa orang kata ilmu Ibu ni tinggi sangat, bahasa Ibu bahasa koporat yang susah difahami.
 
Ibu tahu, ilmu Ibu juga sesuai dengan dunia usahawan. Malah Ibu yakin mereka perlukannya, tapi pada awal dulu-dulu, ramai yang tak boleh terima Ibu.
 
Tiba-tiba Ibu terjumpa dengan satu article Nasihat Einstein. Ibu rasa nasihat beliau ini tak lapuk dek zaman. Termenung juga Ibu, dan banyak juga kebenarannya, Ibu rasa macam ada batu besar himpap kepala Ibu.
 
Sebelum itu jom kita kenali siapa Einstein?
 
Albert Einstein (14 Mac 1879 – 18 April 1955) ialah seorang ahli fizik teori berbangsa Jerman yang telah dianggap sebagai ahli sains yang teragung pada abad ke-20. Beliau mengemukakan teori kerelatifan dan membuat banyak sumbangan utama kepada perkembangan mekanik kuantum, mekanik statistik dan kosmologi. Einstein telah dianugerahkan dengan Hadiah Nobel dalam bidang Fizik pada tahun 1921 bagi penjelasannya mengenai kesan fotoelektrik dalam tahun 1905 serta “khidmatnya kepada Fizik Teori”. Selepas teori relatif amnya dirumus pada November 1915, Einstein mencapai kemasyhuran di seluruh dunia. Namanya sering disinonimkan dengan Genius.
 
Hebatkan?
 
Masa Ibu di MRSM Pengkalan Chepa, kelas Ibu juga dinamakan Einstein.
 
Walaupan ramai yang menyangka beliau hanya bijak dalam jurusan fizik dan matematik. Namun, beliau juga banyak berkongsi tentang hal-hal kehidupan. Einstein adalah seorang yang mempunyai rasa ingin tahu yang sangat mendalam serta semangat dan komitmen untuk merealisasikan kemungkinan masa depan berbanding dengan keterbatasan di zamannya.
 
Bila difikirkan, ciri-ciri ini lah yang diperlukan di kalangan usahawan dan pemimpin hari ini.
 
Kata beliau, untuk menjadi pemimpin hebat, paling utama adalah keupayaan berkomunikasi dengan efektif dan Einstein telah merumuskannya di dalam 12 perkataan di bawah :
 
“𝗜𝗳 𝘆𝗼𝘂 𝗰𝗮𝗻’𝘁 𝗲𝘅𝗽𝗹𝗮𝗶𝗻 𝗶𝘁 𝘀𝗶𝗺𝗽𝗹𝘆, 𝘆𝗼𝘂 𝗱𝗼𝗻’𝘁 𝘂𝗻𝗱𝗲𝗿𝘀𝘁𝗮𝗻𝗱 𝗶𝘁 𝘄𝗲𝗹𝗹 𝗲𝗻𝗼𝘂𝗴𝗵.”
 
Menjadi seorang genius dan seorang pemimpin tidak perlu menggunakan jargon yang fancy, perkataan-perkataan yang hebat, atau cuba menjelaskan perkara-perkara dalam istilah yang kompleks.
 
Sebenarnya menurut beliau, sebagai pemimpin yang hebat hanya memerlukan komitmen yang teguh dan simplicity.
 
Simplicity sebenarnya bukan mudah, seorang yang betul-betul genius sahaja yang mampu memudahkan perkara-perkara yang payah. Mengetahui sesuatu fakta tidak sama dengan memahami konsep yang mendalam.
 
Seseorang boleh menyatakan bahawa kelajuan cahaya adalah 299,792,458 meter sesaat. Tetapi tidak ramai yang dapat menjelaskan sebabnya, atau memberikan pecahan mekanik kuantumnya.
 
Sebagai seorang pemimpin, memberitahu fakta sahaja kepada pasukan kita bukanlah perkara yang hebat tetapi sebagai pemimpin sekiranya kita mampu menjelaskan kepada pasukan kita sehingga mereka faham dan dapat merasai maksudnya, sehinggakan kita mampu membawa mereka mencapai visi kita, itu barulah seorang pemimpin yang hebat.
 
Untuk mengamalkan komitmen dalam memberi komunikasi yang mudah, berikut adalah dua kunci penting yang perlu kita beri kepentingan.
 
1. Lihat dunia melalui pandangan sasaran anda.
Masa Ibu mula menjadi perunding ushawan, Ibu mempunyai kecenderungan untuk bercakap dalam jargon industri dan mengeluarkan tema-tema yang hanya mampu difahami oleh rakan koporat Ibu dulu. Masalahnya, penonton Ibu atau sasaran Ibu adalah usahawan dan bukan rakan-rakan koporat ibu dulu. #tepukdahi
 
Bila Ibu sedar akan hakikat ini, Ibu pun perhati dan selidiki speaker-speaker masa itu yang selalu dan secara konsistennya mendapat maklumbalas positif. Baru Ibu sedar, masalahnya bukan tentang ilmu yang Ibu ajarkan, ilmu Ibu tu memang amat diperlukan usahawan. Tapi masalah Ibu adalah cara Ibu berkomunikasi dan menyampaikan ilmu itu.
 
Menggunakan bahasa yang tepat dan mudah difahami adalah tunjak kepada mana-mana kejayaan speaker-speaker yang hebat. Apabila Ibu mula melihat dunia usahawan melalui lensa mereka, barulah Ibu nampak sambutan terhadap Ibu semakin baik dan semakin diterima para usahawan di Malaysia dan Indonesia.
 
Semenjak dari itu, sebelum Ibu berbicara atau membuat perkongsian, Ibu akan luangkan masa untuk berhenti sejenak dan membayangkan diri Ibu sebagai penonton Ibh dulu. Memahami rasa mereka, memahami bahasa mereka, baru Ibu berucap.
 
2. Fikirkan, mesej yang hendak kita sampaikan boleh difahami oleh anak-anak darjah 5? Walaupun kita rasa kita dah sediakan ilmu terbaik dunia untuk dikongsikan, tetapi jika tidak difahami, tak guna juga kan?
 
Kita kena selalu peka akan perkara ini semasa kita membina konten kita. Jadikan mesej kita itu begitu jelas dan ringkas sehinggakan anak darjah 5 pun boleh faham.
 
Latihan ini memaksa kita memilih mesej yang teras sahaja dan membuang mesej-mesej yang tak ada kepentingan buat mereka. Bila kita dah siapkan point-point teras dan penting untuk disampaikan, kita masih boleh kembangkan sepanjang ucapan kita untuk memastikan kefahaman yang baik.
 
Adalah natural apabila kita fasih atau pakar dalam sesuatu subjek, kita tanpa sedar akan sentiasa terbawa-bawa untuk memberi lebih sehingga penonton kita jadi lemas dan akhirnya tidak memberi menafaat kepada mereka.
 
Asas dalam berkomunikasi dengan efektif dan menjadi pemimpin hebat adalah dengan membuang ego kita dan berbicara mengikut tahap kemampuan penerimaan penonton kita.
(Visited 8 times, 1 visits today)
Close