Tanda Budaya Toksik Dalam Organisasi

Apakah tanda budaya toksik dalam organisasi? Ini adalah 11 tanda yang jelas sebuah organisasi menghadapi budaya toksik:

1. Tidak mesra.

Para pekerja berinteraksi secara formal dan untuk hal-hal berkaitan kerja sahaja. Bergurau menjadi sesuatu yang kekok antara mereka.

2. Mementingkan jawatan, deksripsi tugas dan hierarki.

“Kuasa” lebih penting berbanding mencapai sasaran syarikat. Topik perbualan hanya berlegar mengenai kedudukan dan ‘perks’.

3. Takut buat silap.

Polisi dan peraturan menjadi sangat penting berbanding pertimbangan wajar (consideration), gabungan pengalaman atau faktor lain yang boleh menyumbang kepada kejayaan syarikat. Semua orang takut bertindak luar biasa.

4. Interaksi satu hala.

Kumpulan pengurus dan kumpulan pekerja menjadi dua kelompok berbeza. Mereka hanya berinterasi apabila para pengurus memberikan arahan. Tiada perbualan dua hala atau kerjasama antara mereka.

5. Tertutup.

Tiada siapa yang bercakap tentang suasana yang tidak menggembirakan itu secara terbuka. Bahagian HR pula hanya mengambil sikap tidak masuk campur atau berpura-pura tidak perasan.

6. Tidak dihargai.

Kesilapan dan kesalahan lebih banyak menjadi topik perbincangan berbanding usaha yang dilakukan dan kejayaan yang dicapai.

7. Cakap Belakang.

Tiada siapa yang mempersoalkan sasaran yang ditetapkan walaupun mustahil dan tidak masuk akal. Segala komen, komplen dan perasaan tidak puas hati hanya disuarakan di belakang.

8. Berkomunikasi di saluran yang salah.

Saluran komunikasi tidak rasmi lebih ‘berkesan’ berbanding saluran komunikasi rasmi (official) atau yang ditetapkan syarikat.

9. Tidak bebas.

Para pekerja tidak diberi kebebasan melakukan kerja mereka. Mereka hanya boleh membuat kerja mengikut prosedur yang ditetapkan sahaja. Ganjaran (reward) hanya diberikan jika mereka mencapai sasaran atau jika mereka mematuhi peraturan; bukan kerana idea yang luar biasa atau usaha yang bersungguh-sungguh keras mereka untuk mengubah sesuatu keadaan menjadi lebih baik – dua aktiviti yang boleh membuatkan mereka dipecat.

10. Tidak berasa selamat.

Semua orang bimbang dengan kedudukan mereka. Pada bila-bila masa mereka boleh dinaikkan pangkat atau diturunkan pangkat. Mereka saling bertanya sesama sendiri mengenai pandangan ‘big boss’ terhadap mereka.

11. Tiada komuniti di tempat kerja.

Pekerja-pekerja yang saling bergurau dan ketawa sesama sendiri akan dipandang serong oleh para pekerja lain yang terlalu takut mahu bergaul sesama sendiri. Pekerja yang ‘outspoken’ atau yang suka berfikir di luar kotak, tidak akan bertahan lama; sama ada mereka berasa jengkel dan meninggalkan syarikat atau mereka diminta meninggalkan syarikat kerana bersikap sering ‘menentang’.

Leave a Comment