Kita tak boleh paksa orang panjat gunung

Ibu sangat hormat kepada ‘kaum’ bos, ketua, founder, majikan, pemimpin, yang bagus, yang berjiwa besar, yang tak pentingkan diri, yang bertanggungjawab, yang amanah dan yang nak anak-anak buah naik sama-sama dengan dia SAHAJA.

 

Bukan senang. Serius. Bukan senang. Mereka yang bercita-cita dan bersungguh-sungguh nak ‘grow’kan pasukan. Bukan semata-mata sebab ‘diajar’ oleh guru-guru bisnes. Perasaan itu memang sudah ada dalam diri mereka.

 

NAMUN sekali lagi, bukan senang. Mereka yang bersungguh-sungguh mahu membentuk. Tetapi kalau anak-anak buah sendiri yang tidak bersungguh-sungguh mengubah diri, tak akan ada hasil juga.

 

Kita tak boleh paksa orang panjat gunung. Dia kena panjat sendiri. Kita tak boleh paksa orang naik pentas. Dia kena naik sendiri. Paksalah macam mana cara sekali pun, kalau dia tak nak buat, tetap dia tak akan buat.

 

Penat. Serius penat. Hanya ketua sahaja yang tahu betapa penatnya. Laluan perlu dirintis. Sangat banyak yang perlu dibuat, dan kita tak akan mampu buat seorang. Kita perlukan pasukan.

 

Kadang-kadang muncul rasa nak putus asa dan mengalah. Tak mahu lagi berurusan dengan minda kelas bawah. Tak mahu lagi bersusah payah ‘groom’ anak buah. Biarlah. Mereka selesa dengan cara mereka. Buat penat saja fikirkan mereka dan pergi kelas sana sini untuk cari ilmu menjadi ketua yang baik untuk mereka. Serius.

 

Menjadi ketua, apa yang tidak dirasa?

 

Disalah faham. Dimaki. Dikata-kata. Diburuk-burukkan. Dicaci. Diumpat. Difitnah. Kelemahan disebar merata. Kesilapan dicanang-canang. Sebaliknya, kelemahan dan kesilapan mereka sendiri tidak diakui. Kalau diakui pun, tetap ‘puncanya’ KETUA. Bila dapat kehendak hati – walaupun selambak – belum tentu dihargai. Apa yang mereka tidak dapat – walaupun satu – itulah yang diumpat dan diungkit berkali-kali.

 

Apabila pasukan tidak berkembang, kepimpinan ketua dipersalahkan. Apabila tiada hasil daripada ketua, kepimpinan ketua dipersalahkan. Apabila anak buah lemau, ketua juga dipersalahkan. Apa lagi?

 

Ibu juga seorang ketua. Jadi, bila ibu dengar luahan-luahan begini daripada anak-anak didik ibu, ibu sangat faham.

 

Tapi adakah usaha ketua, bos, pemimpin, founder, majikan itu tadi sia-sia?

TIDAK.

 

Apakah kita perlu berhenti memimpin dan mengetuai?

TIDAK.

 

Allah pandang. Allah nilai. Hidayah datang daripada Allah. Allah yang buka hati mereka. Usaha kita untuk membentuk dan memimpin itu, tetap Allah pandang dan nilai.

 

Ada sebabnya mengapa kita ditakdirkan memimpin, dan mereka menjadi pengikut. Kedudukan di atas itu sedikit saja tempatnya dan bukan semua orang layak berada di situ.

 

Biarkanlah mereka. Cara pemikiran dan persepsi orang, tidak sama. Kasihani dan bantu mereka kerana mereka masih belum nampak apa yang kita nampak. Manusia ini fikrahnya kebaikan dan mereka juga mahukan kebaikan. Cuma mereka masih belum sampai pada kedudukan kita. Kita doakan mereka.

 

Kita sendiri, jangan putus asa. Jangan berhenti berusaha. Jangan mudah lemah. Ambil masa rehat, jika perlu, dan kembali semula dengan semangat yang baru. Mohon semoga Allah sentiasa beri kekuatan.

 

Membentuk pasukan, memang mencabar. Kita perlu lebih bijak dan matang daripada mereka. Perlu lebih kuat dan tegar berbanding mereka.

 

Cari ilmu.

Tambah ilmu.

Cari guru.

Berguru dengan ramai guru.

Belajar psikologi manusia.

Belajar katakter manusia.

 

Jangan berhenti mohon Allah bantu usaha.

 

Alhamdulillah, Allah beri ibu peluang yang sangat banyak untuk belajar bagaimana menjadi pemimpin yang lebih baik. Ibu belajar dan Allah beri pula ruang seluas-luasnya untuk praktikkan apa yang ibu belajar dengan anak-anak buah yang pelbagai ragam. Sebab itu ibu faham.

 

Di dunia ini kita penat. Lakukannya kerana Allah. Ganjaran di akhirat nanti, masya-Allah … hanya Allah sahaja yang tahu nikmatnya.

 

Ibu doakan anda semua menjadi pemimpin yang sentiasa lebih baik setiap hari.

 

Ibu juga doakan anda semua dianugerahkan pasukan dan anak buah yang tahu menghormati, menghargai dan berprestasi tinggi.

 

Aamiin!

Leave a Comment