Bisnes wajib ada Roadmap

Bayangkan kita sedang bermain jigsaw puzzle. Di tangan kita sekarang ada banyak kepingan puzzle. Kita memang sudah ada gambaran, macam mana rupa jigsaw puzzle bila dah siap nanti. Semua kepingan itu sangat ‘random’ dan kita boleh mulakan dengan mana-mana kepingan.

Soalannya, kita nak mulakan dengan kepingan yang mana satu? Apa yang perlu disusun dahulu? Nak susun di bahagian mana dahulu?

Ada dua pilihan yang boleh kita buat; redah sahaja susun puzzle itu dengan pelbagai cara, atau ambil sedikit masa atau buat rancangan yang jelas macam mana nak susun. Bila dah jelas, susunan seterusnya akan jadi lebih terarah.

Mungkin kita mulakan pada bahagian tepi puzzle. Mungkin juga di bahagian bucu, atau boleh jadi juga di bahagian bawah. Yang penting, sekarang kita sudah nampak di mana kita nak fokuskan dulu.

Begitulah bisnes kita, tidak kiralah sama ada bisnes kita baru bermula atau sudah dalam fasa growth. Jika sudah ada beberapa orang staf, lagilah kita perlu ada Roadmap yang jelas dan tunjukkan kepada staf kita supaya mereka tahu apa sebenarnya yang syarikat nak capai.

Kita tahu kita mahu buat bisnes dan kita juga tahu ke mana hala tujunya. Kita sudah tetapkan Visi kita. Dalam tempoh 10 tahun akan datang, syarikat kita akan dikenali sebagai _____________ apa?

Soalannya, bagaimana kita nak mulakan?

Setiap bisnes MESTI ada roadmap. Jika tidak, gerak kerja yang kelihatan seperti ada ‘rancangan’ tidak akan dapat disusun dengan lebih baik. Kita tidak tahu apa sasaran-sasaran jangka pendek yang mesti kita capai.

Menurut Jack Canfield, co-creator siri buku “Chicken Soup for the Soul” dan penulis buku “How To Get From Where You Are To Where You Want To Be”, tetapkan satu sasaran yang besar dan pecahkan kepada beberapa sasaran kecil. Fokus dan konsisten dengan kerja-kerja untuk mencapai sasaran kecil itu sehingga akhirnya mencapai sasaran besar kita.

Katakan kita buat rancangan bisnes untuk 10 tahun. Dalam tempoh 10 tahun daripada sekarang, di mana kedudukan bisnes kita? Bahagikan tempoh itu kepada 3 fasa.

Fasa pertama: 3 tahun
Fasa kedua: 3 tahun
Fasa ketiga: 4 tahun

Ini cuma cadangan ibu. Boleh sesuaikan dengan rancangan bisnes masing-masing. Poin ibu, gerak kerja untuk capai sasaran pada tahun ke-10 itu mesti bermula dari tahun pertama bisnes kita. Kalau bisnes dah mula beberapa tahun tanpa Roadmap, buat sekarang dan mulakan dengan tahun kita buat Roadmap tu. Tetapkan, apa sasaran yang mahu dicapai dalam setiap fasa itu.

Setiap sasaran ini pula, ada pengukuran-pengukuran yang sudah kita tetapkan. Contohnya, pengukuran daripada segi jumlah ‘leads’, atau jumlah cawangan, atau jumlah revenue, atau jumlah SKU atau jumlah ejen dan sebagainya.

Ingat pesan ibu, bisnes yang tak ada Roadmap adalah bisnes yang memenatkan. Kita sentiasa sibuk dan penat tetapi kita tak jelas ke mana nak pergi. Staf dan pasukan kita pun akan cepat lemau.

Jika ada rancangan untuk kembangkan lagi bisnes dan mahu dapatkan pelabur atau bantuan daripada mana-mana fasiliti kewangan, Business Roadmap adalah antara dokumen penting yang mereka mahu tengok.

Leave a Comment