SIDDIQ (Benar)
Pada diri Rasulullah s.a.w bukan hanya perkataannya yang benar, perbuatannya juga benar bersama dengan ucapannya. Kalau ayat yang kita biasa dengar adalah “Walk the Talk.”
Anak buah kita akan sentiasa melihat tingkah laku kita dan bandingkan dengan tutur kata kita. Contohnya, kalau lah kita tetapkan bahawa syarikat kita sangat mengutamakan ketepatan masa. Tapi, kita sendiri yang selalu lambat masuk meeting dan menggunakan pangkat “Boss” sebagai alasan.
Memang akan susah untuk anak buah kita untuk patuh kepada sesuatu peraturan seandainya mereka sendiri lihat ketua atau pemimpin mereka tidak patuh kepada peraturan tersebut. Mereka lebih mudah untuk ikut sekiranya mereka lihat pemimpin mereka lakukan perkara yang sama.
AMANAH (Benar-benar boleh dipercayai)
Jika satu urusan diserahkan kepadanya, nescaya urusan itu akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Penduduk Mekah memberi gelaran kepada Nabi Muhammad s.a.w dengan gelaran ‘Al-Amin.’ Mereka sudah percaya Rasulullah sebelum diangkat menjadi rasul. Apa saja yang diucapkan oleh Rasulullah, mereka percaya yang Baginda tidak pernah berdusta.
“(Tugasku) menyampaikan kepada kamu akan perintah-perintah (yang diutuskan oleh) Tuhanku, dan aku adalah pemberi nasihat yang amanah, bagi kamu.” (Al-A’raf : 68).
Kita tak boleh ambil ringan terhadap amanah dan tanggungjawab yang kita pikul. Walau apa sahaja perkara yang berlaku, kita perlu amanah dengan tanggungjawab yang dipegang. Anak buah kita sedang bergantung harap kepada kita untuk dipimpin, dibimbing atau dididik supaya boleh turut memimpin orang yang lain. Sekiranya kita mengkhianati amanah yang kita pegang, samalah juga dengan tindakan kita memusnahkan kehidupan anak buah kita.
TABLIGH (Menyampaikan)
Rasulullah s.a.w bertanggungjawab untuk menyampaikan wahyu dan petunjuk Allah kepada umat Islam. Baginda tidak menyembunyikan perkara tersebut.
Sebaliknya, Baginda akan menyebarkan apa yang telah diajarkan kepadanya untuk seluruh umatnya.
Apa yang kita belajar dan apa yang kita tahu, kita perlu kongsikan dengan anak buah kita walaupun mereka hanya bekerja untuk kita. Ajar mereka untuk menjadi orang yang lebih baik. Kadang-kadang, kita takut, kita dah ajar macam-macam nanti dia berhenti kerja. Ini pesanan Ibu, biarkan. Yang penting, sepanjang hidup kita, kita banyak memberi daripada menerima. Ibu selalu pesan pada anak murid Ibu, “if he meant for you, he will come back. If not, he never was.”
Jadi, teruskan menyampaikan ilmu kepada anak buah kita. Setiap usaha kita itu insya-Allah, akan membuahkan hasil kepada kita dan syarikat.
FATHONAH (Bijaksana)
Rasulullah saw memiliki kebijaksanaan, khususnya dalam menyampaikan dakwah Baginda kepada masyarakat yang terdiri daripada pelbagai sikap dan lapisan umur. Sifat fathonah ini yang menyempurnakan sifat tabligh.
Cara Baginda menyampaikan wahyu sangat berbeza mengikut situasi. Ada masa Baginda berlemah-lembut dan ada masa perlu bertegas. Baginda faham tentang keadaan semasa, memahami orang yang mendengar supaya apa yang disampaikan itu berkesan untuk mereka.
Jadi, kita juga perlu bijak dalam menyusun dan merancang setiap pendekatan yang kita ambil dalam bertutur dan menyampaikan maklumat kepada anak buah kita. Disamping kita menyampaikan maklumat, kita juga perlu banyak mendengar supaya kita faham tentang mereka dan tahap kefahaman mereka terhadap perkara yang disampaikan. Clarity itu sangat penting dalam kepimpinan, tanpa clarity, sesebuah organisasi boleh roboh.
Semoga kita dapat menerapkan 4 sifat rasulullah s.a.w di dalam kehidupan kita dan menjadi leader dengan 4 sifat ini.






