Cerita ini agak panjang.
Suatu malam, Brian sedang memandu traknya dan dalam perjalanan pulang ke rumah. Tiba di suatu kawasan, dia terlihat seorang wanita sedang berhenti di tepi jalan seorang diri. Wanita itu berpakaian kemas dan kelihatan seperti orang berada.
Kawasan itu agak sunyi dan dikelilingi belukar. Line telefon tidak bagus. Kereta juga tidak banyak yang lalu lalang di situ. Brian berasa kasihan lalu memberhentikan traknya.
“Boleh saya bantu puan? Nama saya Brian Anderson.”
“Boleh saya bantu puan? Nama saya Brian Anderson.”
Wanita itu kelihatan ragu-ragu. Brian kelihatan seperti orang miskin dan terdesak. Bagaimana kalau Brian berpura-pura mahu membantu, sedangkan mahu merompaknya? Tetapi wanita itu memang memerlukan bantuan. Tayar keretanya pancit.
Brian meminta wanita itu menunggu di dalam kereta kerana cuaca agak sejuk. Kemudian, Brian terus membantu menukarkan tayar pancit itu.
Tidak lama kemudian, kerja-kerja itu selesai. Wanita itu mahu membayar upah kepada Brian. Brian memang mahu mengambilnya, namun selepas berfikir seketika, dia bertukar fikiran.
“Tidak mengapa, puan. Saya tidak mahukan upah. Saya cuma membantu. Tetapi, selepas ini kalau puan terjumpa sesiapa yang kelihatan perlu dibantu, puan bantulah seikhlas hati, sambil puan mendoakan kebaikan untuk saya, Brian Anderson.”
Selepas itu, Brian terus pergi dari situ.
Wanita itu berasa sangat terhutang budi. Dia terus memandu keretanya sambal terkenangkan jasa Brian yang sangat baik itu.
Wanita itu singgah di sebuah restoran untuk berehat dan minum. Restoran itu sunyi dan tiada pelanggan.
Sewaktu masuk ke dalam restoran, dia terdengar perbualan seorang pelayan wanita yang sedang mengandung dengan rakannya.
Wanita itu terdengar pelayan yang sedang mengandung 8 bulan sedang mengalami masalah kewangan yang agak teruk. Suaminya bergaji kecil dan baru sahaja diberhentikan kerja kerana syarikat majikannya bankrap. Sekarang, setiap hari suaminya akan melakukan apa sahaja kerja walaupun upahnya kecil. Mereka masih belum membuat persediaan untuk menyambut kelahiran bayi mereka. Tambah sulit, jualan di restoran itu juga sedang merosot teruk.
Wanita itu memesan minuman. Pelayan yang mengandung itu mengambil dan menghantar pesanannya, kemudian meneruskan kerjanya mengemas meja dan mengemop lantai restoran.
Wanita itu teringatkan kata-kata Brian. Pada masa yang sama, dia berasa kasihan dengan pelayan itu. Lalu tanpa berfikir panjang, dia mengeluarkan sekeping cek, menulis jumlahnya, menulis pesanan di atas sehelai tisu, segera menghabiskan minumannya dan meletakkan bayaran, lalu keluar meninggalkan restoran itu.
Pelayan wanita yang mengandung itu perasan meja itu sudah kosong, lalu dia bergegas untuk mengemaskannya sebelum pulang
Ketika mengambil wang bayaran minuman, dia terkejut melihat sekeping cek kosong berjumlah $5,000.00 bersama sehelai tisu yang tertulis satu pesanan.
“Kepada pelayan wanita yang sedang mengandung 8 bulan. Saya tidak tahu nama kamu, tetapi saya terdengar perbualan kamu. Ambillah cek ini, tunaikannya dan uruskan persediaan untuk bayi kamu. Seorang lelaki membantu saya sebentar tadi. Dia tidak mahu mengambil upah, sebaliknya berpesan supaya saya membantu orang lain sambil mendoakan kebaikan untuknya. Saya juga mendoakan segala kebaikan untuk kamu, suami kamu dan bayi kamu nanti.”
Pelayan wanita itu berasa sangat bersyukur dan menangis kegembiraan.
Sebaik tiba di rumahnya yang tidak jauh daripada restoran, dia melihat suaminya sedang tertidur kepenatan di atas kerusi di ruang tamunya. Dia tidak sampai hati mengejutkan suaminya hanya kerana mahu berkongsi cerita gembira itu.
Perlahan-lahan, dia mencium dahi suaminya sambil berbisik perlahan, “Hari ini Tuhan mengirimkan seseorang untuk membantu kita. Saya percaya, semuanya akan baik-baik saja, Brian Anderson … .”
(Visited 16 times, 1 visits today)